suria

Speaker Akan Maklumkan Kekosongan Kerusi DUN Kuala Besut Kepada SPR Khamis

KUALA TERENGGANU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18, Rabu akibat kanser paru-paru.

"Esok saya akan menyerahkan surat warta kekosongan kepada SPR Terengganu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Rabu.

Dr A.Rahman yang merupakan Pengerusi Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri dimasukkan ke HSNZ sejak Khamis lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Kematian Adun Kuala Besut itu bakal menyaksikan pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU13.

Pada pilihan raya umum lepas Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan. - BERNAMA

Artikel Lain