suria

Penimbang Tara Didakwa Minta Suapan RM6 Juta Dari Ahli Perniagaan

GEORGE TOWN: Seorang penimbang tara bertauliah pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta suapan sebanyak RM6 juta daripada seorang ahli perniagaan, tahun lepas.

Yusof Holmes Abdullah, 69, seorang rakyat Britain yang memiliki status penduduk tetap Malaysia, didakwa meminta suapan tersebut menerusi e-mel daripada Pengarah JMR Construction Sdn Bhd.,Goh Nai Kooi @ Goh Mai Kwai.

Dia didakwa menghantar e-mel melalui [email protected] kepada Goh di [email protected] di No.8, Jalan Sri Bahari, di sini, antara 1 Ogos dan 30 September 2012.

Suapan tersebut didakwa sebagai pendorong kepada Yusof Holmes untuk membuat keputusan memihak JMR Construction dalam kes timbang tara dengan syarikat Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau.

Seorang ahli perniagaan, Siaw Teck Hwa, 59, turut didakwa bersubahat dengan Yusof Holmes dalam meminta wang tersebut secara rasuah dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid meminta mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh kerana mebabitkan jumlah suapan yang tinggi dan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Hakim Zul Hazni Abdullah menetapkan wang jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan kes.

Yusof Holmes diwakili peguam Raj Shankar manakala Siaw oleh Zainal Fikri. - BERNAMA

Artikel Lain