suria

Palanivel Berlepas Ke Indonesia Pada Rabu, Cari Penyelesaian Segera Masalah Jerebu

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel akan ke Indonesia pada Rabu untuk bertemu rakan sejawatannya Balthasar Kambuaya bagi mencari penyelesaian segera terhadap kebakaran yang menyebabkan Malaysia dilanda jerebu tebal, selain Singapura dan Indonesia sendiri.

Palanivel berkata Malaysia bersedia menawarkan sokongan teknikal bagi meningkatkan usaha memadam kebakaran di negara itu yang menyebabkan kualiti udara di negara ini semakin merosot.

"Mula-mula sekali, kami perlu ambil tindakan segera untuk memadam kebakaran yang berlaku. Kami bersedia memberi bantuan kepada Indonesia dalam bentuk tenaga manusia, kepakaran teknikal, peralatan, pembenihan awan dan pesawat pengebom air.

"Sebenarnya, kini, jerebu menjadi isu nasional. Ia sudah merebak hingga ke Borneo apabila terdapat terlalu banyak tompok panas di Indonesia. Kami perlu berbincang untuk menyelesaikan masalah ini," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Palanivel berkata masalah jerebu merupakan masalah rentas negara dan sempadan yang menjejaskan kesihatan, pelancongan, perniagaan dan ekonomi.

Beliau berkata pada mulanya, perjumpaan berkenaan dijadual berlangsung Jumaat lepas, tetapi ditunda dan dijadualkan semula oleh rakan sejawatannya itu.

"Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani kebakaran tanah gambut dan kami bersedia menawarkan kepakaran kami kepada Indonesia untuk membantu mereka menyelesaikan masalah rentas negara dan sempadan ini," katanya.

Di samping pertemuan itu, Palanivel berkata kementerian berkenaan juga akan cuba mengadakan perjumpaan dengan para wakil syarikat perladangan Malaysia di Indonesia, yang disyaki menyumbang kepada keadaan berjerebu sekarang.

"Laporan mendakwa syarikat Malaysia terlibat dalam kegiatan pembakaran secara haram. Jika ini benar, kerajaan Indonesia perlu menguatkuasakan undang-undang dan mendakwa mereka.

"Pendakwaan boleh dilakukan kemudian, tapi perkara lebih penting sekarang ialah mengawal kebakaran hutan di tengah Sumatera," katanya.

Beliau berkata para pegawai Malaysia dan Singapura juga sedang berusaha agar mesyuarat jawatankuasa jerebu Asean dapat diadakan pada minggu ketiga Julai, bukan Ogos.

Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah mesyuarat itu di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain