Peruntukan BR1M Ditambah Bergantung Kedudukan Kewangan - PM - Semasa | mStar

Peruntukan BR1M Ditambah Bergantung Kedudukan Kewangan - PM

KUALA LUMPUR: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan ditambah nilai peruntukannya pada Belanjawan 2014 yang akan dibentang pada Oktober, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya kerajaan komited untuk menyediakan belanjawan terbaik untuk rakyat dan perlu terlebih dahulu melihat kedudukan tahunan kewangan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menyasarkan untuk menurunkan defisit negara dari 4 peratus kepada 3.5 peratus pada 2014 dan seterusnya kepada 3 peratus pada 2015.

Tegas Perdana Menteri, keutamaan kerajaan pada Parlimen ke-13 yang mula bersidang hari ini adalah kepada usaha-usaha untuk menunaikan AkuJanji Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Perbincangan tentang Bajet 2014 akan bermula minggu depan. Saya bagi pihak kerajaan berbesar hati untuk menjemput rakyat jelata menyuarakan pandangan serta pendapat bernas berhubung pelan belanjawan negara untuk tahun depan," katanya dalam entri terbaharu blog beliau hari ini.

"Sesungguhnya kami komited untuk terus mendengar suara rakyat, dan kami akan meletakkan kepentingan rakyat jelata sebagai teras kukuh dalam rangka perbelanjaan tahunan negara," katanya.

Najib berkata demokrasi berperlembagaan yang selama ini diamalkan di negara ini jelas semakin subur dan sihat, dan rakyat sudah bertambah matang dalam membuat pilihan serta menjaga dan mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi.

"Keputusan PRU13 menjadi bukti bahawa amalan demokrasi begitu subur dan matang di negara kita ini," katanya.

Katanya persidangan Dewan Rakyat kali ini menyaksikan penyertaan lebih ramai anggota Parlimen muda yang boleh membawa aspirasi dan semangat golongan muda yang membentuk lebih daripada 40 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar negara.

Sambil menyifatkan ia satu perkembangan yang sihat, beliau berkata golongan muda adalah penggerak sosio-ekonomi negara yang tidak boleh dipinggirkan sama sekali dalam usaha membangunkan ibu pertiwi.

Mengucap tahniah kepada anggota Parlimen yang telah dipilih oleh pengundi berdaftar dalam PRU13, Najib berkata anggota Parlimen adalah anggota Majlis Perundangan Persekutuan yang juga dikenali sebagai Dewan Rakyat.

"Dewan Rakyat bertanggungjawab untuk mencadang, membahas, merangka serta meluluskan rang undang-undang demi kepentingan bersama seluruh rakyat jelata.

"Anggota Parlimen juga memegang peranan untuk mengkaji pelan ekonomi, bajet kerajaan serta mengkaji undang-undang sedia ada demi memperbaikinya, dan kami juga perlu mendapat maklum balas rakyat dari kawasan parlimen yang diwakili masing-masing," katanya.

Katanya beliau yakin sebagai anggota Parlimen, mereka mampu berbahas secara berhemah dan tertib serta perlu menyumbangkan idea serta pendapat yang bernas demi kepentingan rakyat.

"Kita berharap supaya anggota Parlimen komited memberikan penyertaan yang aktif agar sesuatu perbahasan boleh dijalankan dengan efisien dan bermanfaat," katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua anggota Parlimen untuk sama-sama bekerja keras demi membangunkan negara yang dicintai kerana rakyat bergantung harapan kepada mereka.

"Bagi pihak diri saya sendiri dan kerajaan BN, saya panjangkan rasa penghargaan kepada rakyat yang telah memberikan mandat kepada saya dan BN untuk terus mentadbir negara.

"Sesungguhnya kepercayaan yang anda berikan tidak sama sekali akan disia-siakan oleh barisan pemimpin di bawah tunjang kepimpinan BN," katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain