suria

Pensyarah Dari Malaysia Mengaku Bersalah Tuduhan Rasuah Di Australia

MELBOURNE: Seorang bekas pensyarah warga Malaysia mengaku bersalah menambah markah peperiksaan pelajar yang sepatutnya gagal di Curtin University, Australia Barat.

Foong Tuck Cheong, 54, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Perth pada Isnin terhadap tiga pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan sogokan susulan siasatan oleh Suruhanjaya Rasuah dan Jenayah membabitkan kesalahan yang dilakukan pada 2012.

Menurut laporan Australian Associated Press, Foong didakwa menambah markah peperiksaan dua pelajar yang sepatutnya gagal subjek sains gunaan dalam unit pengurusan pembinaan.

Seorang pelajar didakwa membayar tertuduh A$3,000 dan seorang lagi membayar A$1,500 sebagai dorongan untuknya berbuat demikian. (A$1 = RM2.96 sekarang)

Foong juga didakwa menambah markah pada satu tugasan dan memberi markah lulus untuk satu projek lain bagi pelajar ketiga, sekalipun tugasan itu tidak dihantar pelajar terbabit.

Foong dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu hukuman diputuskan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain