suria

Pekerja Buruh Indonesia Ditemui Mati Dibunuh

MELAKA: Seorang buruh rakyat Indonesia ditemui mati selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan rakan senegara di loji air Gangsa, Durian Tunggal di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mangsa dikenali sebagai Saiful Rahman, 29, dari Madura, mati di tempat kejadian akibat keceraan parah di kepala dan badan selain putus tangan kiri.

Beliau berkata dalam kejadian pada 10.45 malam tadi mangsa dipercayai diserang tiga pekerja buruh Indonesia yang tinggal berhampiran rumah kongsinya dekat loji air itu.

Katanya polis percaya mangsa dipukul hingga mati menggunakan sabit, parang dan kayu yang dijumpai di tempat kejadian.

"Kita tidak menolak kemungkinan pergaduhan ini kerana seorang wanita," katanya.

Sehubungan itu, Raja Shahrom berkata polis sedang mengesan ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain