suria

Peguam Syarie Digantung Tugas Berjaya Ketepi Keputusan MAIWP

KUALA LUMPUR: Seorang peguam syarie pada Selasa berjaya mengetepikan keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menggantung khidmatnya.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof yang membenarkan permohonan Muhamad Burok untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie pada 23 April 2012 yang menggantung khidmatnya selama enam bulan bermula 1 Jun 2012.

Hakim Zaleha juga membatalkan keputusan yang dibuat MAIWP pada 13 Ogos 2012 yang mengenakan tindakan sama berkuatkuasa mulai Sept 2012 hingga 28 Februari lalu.

Beliau memerintahkan kedua-dua responden membayar ganti rugi am yang akan ditaksir kemudian dan kos sebanyak RM7,000 kepada Muhamad.

Muhamad memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mengisytiharkan keputusan kedua-dua responden tidak sah pada 4 Oktober 2012 kerana menggantung tugas beliau sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas seorang anak guamnya membuat aduan atas alasan beliau gagal hadir dalam satu keputusan kes cerai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain