suria

Memperdagangkan Manusia: Mahkamah Rayuan Kekalkan Pembebasan Pegawai Imigresen

PUTRAJAYA: Seorang pegawai Jabatan Imigresen yang digantung kerja empat tahun lepas pada Selasa menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan yang melepaskan dan membebaskannya dari pertuduhan memperdagangkan manusia.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Abdul Malik Ishak menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap perintah pembebasan Rahman Selamat, 49.

Abdul Malik berkata selepas mahkamah membaca dan mendengar hujahan bertulis dan lisan pihak pendakwa raya dan pembelaan mahkamah mendapati rayuan pendakwaan tidak mempunyai merit.

"Dengan itu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan responden (Rahman) tanpa memanggil membela diri terhadap pertuduhan itu dikekalkan," kata Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Rahman, yang kelihatan sebak dengan keputusan itu, didakwa memperdagangkan seorang pelarian Rohingya, Mohd Ikbal Mohd Ali, 29, bagi maksud eksploitasi di Pengkalan Haram Kertas, Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, Kelantan antara pukul 12.30 pagi dan 1 pagi, 9 April 2009.

Dia yang pada ketika itu bertugas sebagai Pegawai Imigresen Tinggi (PIT) yang juga penyelia di Unit Pengusiran Depot Pekan Nenas, Johor, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Pada 20 Januari tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kota Baharu melepaskan dan membebaskan dia dari pertuduhan itu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula pada 30 Oktober tahun sama mengekalkan keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar manakala Rahman diwakili Ahmad Nizam Mohamed.

Rahman yang tidak dapat menahan sebak, ketika ditanya perasaannya selepas keputusan itu berkata beliau sangat bersyukur dan berharap penghakiman itu dapat membersihkan namanya.

"Akhirnya undang-undang membuktikan saya tidak bersalah, saya sangat bersyukur," kata Rahman yang digantung kerja sejak Julai 2009, sambil memeluk erat peguamnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain