suria

Lima Lelaki Didakwa Culik Rakan Untuk Tebusan

KUALA LUMPUR: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa atas pertuduhan menculik seorang rakan mereka untuk mendapatkan wang tebusan RM500,000, dua minggu lepas.

Mohd Syahmeel Mazalan, 29, Mohd Zahirin Mohamad Raseli, 28, Mohd Firdaus Abd Hamid@Mohd Zin, 23, Mohd Saifful Baharain M.Pauzi, 28, dan Ahmad Khusairi Jusoh, 28, hanya mengangguk tanda faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurliana Ismail.

Tiada pengakuan dicatatkan dan mahkamah menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.

Mereka didakwa menculik Mohd Eqbal Md Yunus, 26, untuk tebusan RM500,000 di kondominium Sympony Height, Blok E-25-07, Jalan Medan Selayang 1, Batu Caves, Selangor pada 12.45 pagi, 13 Jun.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain