suria

Kawasan IPU Tinggi Mulai Hujan

KUALA LUMPUR: Hujan dilaporkan di beberapa kawasan yang merekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi termasuk di Shah Alam, Selangor petang Selasa.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata Petaling Jaya, Subang Jaya dan beberapa kawasan di Perak juga mengalami hujan petang ini dan ia dijangka berterusan hingga malam.

Turut mengalami hujan ialah Muar, kawasan yang diisytihar darurat jerebu Ahad lepas. Pelabuhan Klang, Selangor dan Seri Manjung, Perak yang mencatat IPU berbahaya dengan bacaan lebih 300 pada Selasa, diramal mengalami hujan lewat petang Selasa.

Bagi Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Terengganu pula, sesetengah tempat mulai hujan lewat petang ini, kata jurucakap itu ketika dihubungi.

Tengah hari Selasa, ratusan jemaah menunaikan solat sunat "Istisqa" di Masjid Negara bagi memohon hujan berikutan masalah jerebu dan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Che Gayah Ismail ketika dihubungi berkata latihan operasi pembenihan awan akan diteruskan pada Rabu bagi mencari kesesuaian awan, dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam pada itu, sehingga 5 petang ini, Portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan Pelabuhan Klang dan Seri Manjung masing-masing mencatat bacaan IPU 464 dan 290.

Shah Alam dan dua kawasan di Perak iaitu SK Jalan Pegoh, Ipoh dan Seri Manjung pula mencatat IPU sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200.

Sebanyak 20 kawasan mencatat IPU tidak sihat, 26 sederhana dan satu kawasan iaitu di Tawau, Sabah adalah baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain