suria

Geng Manik Terbabit 32 Kes Samun Tumpas

KUANTAN: Polis Pahang berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'Geng Manik' yang dipercayai terbabit dalam 32 kes samun di beberapa daerah di Pahang sejak Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad berkata sembilan anggota kumpulan itu termasuk ketuanya, berusia 21 dan 37 tahun, berjaya diberkas Jumaat lepas di sebuah rumah di Bukit Setongkol dekat Cenderawasih.

"Dalam kejadian pukul 6 pagi Jumaat lepas, kumpulan berkenaan menyamun sebuah rumah di Taman Fairmount, Indera Mahkota 5, dekat sini, sebelum melarikan diri.

"Sejurus selepas kejadian itu, polis melakukan gerakan mengesan kumpulan berkenaan dan menyerbu sebuah rumah di Bukit Setongkol, yang dipercayai dijadikan markas mereka," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Dalam serbuan itu, polis menahan lapan anggota kumpulan berkenaan, manakala ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai "Manik", 26, bertindak menyerang anggota polis dengan parang menyebabkan pihak polis melepaskan tembakan yang mengenai paha kirinya.

Berikutan penahanan itu, pihak polis berjaya menahan seorang lagi anggota kumpulan itu berusia 20 tahun di Triang, dekat Bera, kira-kira pukul 4 pagi Selasa.

"Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam 32 kes samun di lima daerah iaitu di Kuantan, Pekan, Maran, Bera dan Bentong.

"Dalam serbuan di rumah yang dijadikan markas mereka itu juga, polis turut menemui barangan dipercayai hasil samun, antaranya beberapa buah komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, kasut dan beg tangan.

"Pelbagai senjata tajam seperti parang, pisau, kuku kambing, pemutar skru dan sebuah kereta yang dipercayai disewa mereka untuk digunakan dalam kegiatan jenayah mereka itu turut dirampas," katanya.

Mohd Zakaria berkata polis kini mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Rosman Che Ani, 39, alamat terakhirnya di Felda Chini 1, Pekan yang dipercayai menerima dan membeli barangan hasil samun kumpulan itu.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan lelaki itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain