suria

Dua Beradik Mengaku Tidak Salah Keluarkan Wang Tanpa Kelulusan Syarikat

JOHOR BARU: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, Selasa terhadap pertuduhan melepaskan tanggungjawab sebagai pengarah syarikat dengan mengeluarkan wang syarikat tanpa kelulusan, tiga tahun lepas.

Chen Chew, 57, dan Chen Choong Khung, 50, pengarah syarikat Cosmic Electrical Engineering Sdn Bhd dituduh melepaskan tanggungjawab terbabit dengan mengeluarkan wang di dalam akaun Public Bank Berhad melalui cek bernombor 131364 berjumlah RM112,002.15 tanpa kelulusan syarikat dalam mana-mana mesyuarat agung.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Suite 2, Tingkat 1, 2J-1, Jalan Giam, Taman Majidee, di sini pada 24 September 2010.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3)(b) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM30,000 jika sabit kesalahan.

Chew dan Choong turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan harta syarikat dengan mengeluarkan wang syarikat di dalam akaun bank melalui cek dengan jumlah yang sama, di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan terbabit dituduh mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(a) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohamad Azies Han Mohd Fadzil mencadangkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM20,000, bagi kedua-dua pertuduhan, bagaimanapun, peguam YC Wong yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 9 Julai bagi sebutan semula pertuduhan yang dihadapi Chew dan 24 Julai bagi Choong. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain