suria

Semua Sekolah Di Kuantan Kembali Dibuka Esok

KUANTAN: Semua sekolah di Kuantan yang ditutup pada Isnin akibat jerebu akan dibuka semula seperti biasa mulai Selasa, kata Pemangku Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail.

Beliau berkata kesemua 120 sekolah menengah dan rendah di daerah itu bagaimanapun diarah supaya tidak melakukan aktiviti luar dan ko-kurikulum.

"Semua pelajar dan guru-guru terlibat akan ke sekolah seperti biasa mulai esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua sekolah sebelum ini dalam menghadapi masalah jerebu.

Semalam, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup pada Isnin.

Adnan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 12 tengah hari Isnin, IPU dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198 dan 171. - BERNAMA

Artikel Lain