suria

Maybank Temu Duga Lima Calon Untuk Jawatan CEO

KUALA LUMPUR: Maybank setakat ini sudah menemu duga lima calon berpotensi untuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kata Pengerusinya Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau berkata temu duga itu masih diteruskan dan keputusan mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Megat Zaharuddin berkata calon berpotensi itu terdiri daripada pegawai Maybank dan sumber luar yang mempunyai rekod baik dalam perbankan.

Jawatan CEO baharu itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Presiden/CEO Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi.

Laporan yang tersebar luas kini menyebut calon dalaman yang berpotensi terdiri daripada pegawai semasa yang bertanggungjawab ke atas Maybank/Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin, Ketua Perbankan Pelaburan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Presiden Pengarah Bank Internasional Indonesia Datuk Khairussaleh Ramli.

CEO Bursa Malaysia Datuk Tajuddin Atan dan Presiden Axiata Group Bhd Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, pula dilaporkan antara calon luar.

"Kami mahukan calon terbaik dan yang memahami dengan jelas segala cabaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa Maybank kepada 51 penuntut membabitkan sejumlah RM30 juta.

Beliau berkata anugerah itu meliputi sokongan kewangan termasuk yuran tuisyen, elaun sara hidup, komputer riba dan latihan praktikal berbayar untuk penerima biasiswa.

Mereka di senarai pendek daripada sejumlah 6,931 permohonan yang diterima tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain