suria

Jerebu: Tiada Perubahan Pada Jadual Penerbangan

KUALA LUMPUR: Jadual penerbangan di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak mengalami sebarang perubahan walaupun jerebu teruk melanda ketika ini, kata Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi MAHB Datuk Azmi Murad.

Katanya walaupun jerebu melanda negara ini, namun jarak penglihatan ketika ini adalah kira-kira 1,000 meter iaitu masih selamat.

"Jika jarak penglihatan kurang daripada 300 meter, baru Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengambil tindakan dengan menutup landasan kapal terbang.

"Setakat ini tidak ada penerbangan yang terjejas dan jadual penerbangan berjalan seperti biasa, " katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Azmi berkata pihaknya akan terus memantau keadaan bagi memastikan jadual penerbangan berjalan lancar.

Antara lapangan terbang kendalian MAHB ialah Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; Lapangan Terbang Antarbangsa Kuching; Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Lapangan Terbang Melaka; Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. - BERNAMA

Artikel Lain