suria

Black505: Jumlah Khemah Kembali Bertambah

KUALA LUMPUR: Bilangan mereka yang berkhemah di Padang Merbok di sini, bertambah malam ini walaupun ibu negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Tinjauan Bernama pada pukul 10 malam tadi mendapati 50 khemah didirikan dengan kira-kira 200 orang termasuk anak kecil berhimpun di kawasan itu.

Pada pukul 4 petang tadi hanya terdapat 30 khemah di situ berikutan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis meminta mereka mengosongkan Padang Merbok pagi tadi.

Seorang peserta perhimpunan yang hanya mahu dikenali sebagai Norkiah, 43, memberitahu kesihatannya sudah terjejas selepas berkhemah di situ sejak semalam.

"Memang ada rasa sakit tekak, mata pedih tetapi untuk menyaksikan pembukaan persidangan Parlimen esok, saya rela berada di sini. Saya tak kiralah, pemimpin (pembangkang) duduk di rumah atau di mana sahaja, janji kami tetap memperjuangkan apa yang kami mahu," katanya yang berasal dari Kedah.

Faiz, 18, yang datang dari Kuantan, Pahang sejak Jumaat lepas untuk menyertai perhimpunan 'Black 505' itu, berkata dia tidak kisah dengan keadaan jerebu atau membersihkan diri di tandas awam, asalkan dapat menyampaikan hasrat perjuangannya.

Petang tadi, DBKL membuat laporan polis meminta polis bertindak mengusir peserta perhimpunan yang masih berkhemah di padang itu.

Artikel Lain