suria

Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Cenang Ditemui

LANGKAWI: Mayat seorang pelajar yang dilaporkan hilang ketika belajar berenang di Pantai Cenang di sini Jumaat lepas ditemui petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Harith Kam Abdullah berkata, mayat Muhammad Aizzat Ahmad Nazri, 17, dari Ulu Melaka Langkawi, ditemui tidak jauh dari tempat dia mandi kira-kira 3.45 petang Sabtu oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian Jumaat lepas Muhammad Aizatt bersama dua lagi rakannya mandi di Pantai Cenang kira-kira 6 petang, dan tiba-tiba arus deras menyebabkan mereka tidak dapat mengawal keadaan.

Dua rakannya dapat diselamatkan orang awam di pantai itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Mat Sirat itu kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Gerakan mencari dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam. - BERNAMA

Artikel Lain