suria

Black505: DBKL Lapor Polis Minta Usir Peserta Berkhemah

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis meminta agar polis bertindak mengusir peserta perhimpunan yang masih berkhemah di Padang Merbok, di sini.

Menteri Wilayah Persekutusan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata laporan polis itu dibuat susulan mesyuarat antara pihaknya dan DBKL pada pukul 5.30 petang Ahad.

"Tindakan mereka ini satu kesalahan. Kita dah beritahu mereka tak boleh berhimpun di situ, mereka boleh berhimpun di Stadium Merdeka, tapi mereka degil, jadi kita minta polis bertindak mengusir mereka keluar dari kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat enam keluarga mangsa kebakaran di Kampung Padang Balang, di sini..

Katanya, tindakan tegas terpaksa diambil kerana penyokong pembangkang ternyata terlalu keras hati dan dikhuatiri menimbulkan kekecohan sebagaimana insiden dua penguat kuasa DBKL dikasari semalam.

Menurut Tengku Adnan, perbuatan kumpulan penyokong pembangkang itu juga menambah beban tugas DBKL yang terpaksa membersihkan kawasan berkenaan selepas ini.

Mengulas isu lain, Tengku Adnan berkata pihaknya telah menyarankan kepada Perbadanan Putrajaya agar menangguhkan sementara program Fiesta Flora Putrajaya 2013 yang bermula semalam, sehingga keadaan bertambah baik.

"Fiesta ini melibatkan orang ramai jadi kita mahu ia ditangguh dahulu sehingga ia boleh diteruskan memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk di sini," katanya.

Pada lawatan itu Tengku Adnan turut menyampaikan bantuan peribadi sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan sederet enam rumah sewa pada pukul 11.45 pagi tadi.

Katanya bantuan sebanyak RM300 akan disumbangkan DBKL serta lain-lain bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mangsa terlibat juga akan dipindahkan ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Wahyu dan Batu Lima dalam waktu terdekat, katanya. BERNAMA

Artikel Lain