suria

Pemuda Maut Selepas Motosikalnya Bertembung Kereta

MELAKA: Status akaun laman sosial seorang pemuda mengenai siapa jodohnya menjadi catatan terakhir Mohd Khairul Zulkifli yang maut dalam nahas di Jalan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam Jumaat.

Mohd Khairul, 27, mengemas kini status akaun Facebooknya "Sapelh jodoh aku agknya yea...Hehehe..' (Siapalah jodoh aku agaknya ya...) pada sebelah pagi menemui ajal pukul 8 malam selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.

Ibunya, Jamaliah Ali, 50, berkata anak sulung dari lima beradik itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kota Fesyen, MITC keluar ke tempat kerja kira-kira 7 pagi dan lazimnya akan tiba di rumah antara 6 petang hingga 8 malam, namun sehingga 8.30 malam tadi Mohd Khairul tidak pulang.

Katanya beliau kemudian dimaklumkan mengenai kejadian oleh pihak polis dan rakan anaknya.

"Saya sering meminta arwah mencari jodoh namun arwah hanya ketawa. Tapi pagi semalam dia ada letak dalam Facebook persoalan jodoh dan tak sangka pula dia akan perhi meninggalkan kami malam tadi," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, DSP Muhammmad Koey Abdullah berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang datang dari arah bulatan MITC menghala persimpangan Seri Negeri berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Satria dipandu seorang wanita berusia 43 tahun yang menuju ke arah Taman Tasek Utama, katanya ketika dihubungi.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain