suria

Pemilik Bangunan Umno Diarah Perbaiki Retakan

GEORGE TOWN: Pemilik Menara Umno diarahkan untuk memperbaiki keretakan di bahagian rasuk di atas bumbung atau berdepan risiko bangunan itu terpaksa ditutup.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, keretakan berukuran kira-kira 15cm lebar dan 45cm panjang itu berjaya dikesan pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ketika melakukan pemeriksaan ke atas bangunan itu pada Jumaat.

"Kami akan menyerahkan kepada MPPP untuk mengesahkan masalah tersebut.

"Sekiranya bangunan itu tidak selamat, ia akan ditutup," katanya pada sidang media di Komtar di sini.

Pengarah Jabatan Bangunan MPPP, Yew Tung Seang berkata, beliau mengeluarkan arahan secara lisan kepada pemilik bangunan, jurutera JKP Sdn Bhd sebaik saja menemui kesan retakan itu.

"Mereka mempunyai masa sehingga Isnin untuk menyelesaikan masalah itu atau berdepan tindakan drastik," katanya.

Artikel Lain