Langkah Tarik Balik Boleh Pastikan Integriti IC - RCI - Semasa | mStar

Langkah Tarik Balik Boleh Pastikan Integriti IC - RCI

KOTA KINABALU: Langkah menarik balik kad pengenalan (IC) Malaysia boleh memastikan integriti dokumen pengenalan diri itu, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang asing tanpa izin di Sabah, di sini Jumaat.

Berdasarkan kajian dilakukan UPKO, beliau berkata pihak berkuasa kompeten boleh dilantik untuk mengesahkan ketulenan IC berkenaan.

"Badan ini (pihak berkuasa kompeten) boleh menjadi pasukan petugas khas terdiri daripada pegawai atau profesional daripada sektor swasta atau malahan daripada pergerakan masyarakat sivil. "Ketelusan mesti dijamin. Kita boleh menggantikan IC itu secara berperingkat dan oleh itu, tidak harus ada perasaan was-was di pihak mana-mana orang untuk menyerahkan IC masing-masing bagi tujuan pengesahan dan selepas itu, akan dikeluarkan IC baharu (kepada mereka)," katanya kepada panel lima anggota RCI diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Dompok berkata sekiranya semua IC di Sabah ditarik balik dan digantikan selepas disahkan, langkah itu dapat menjawab kritikan dihadapi Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai 'penipuan' pada senarai pengundi. "Mereka yang telah mendapat kewarganegaraan secara licik dan menjadi pengundi boleh dipadamkan daripada senarai (pengundi) serta merta," katanya.

Dompok juga mencadangkan kerajaan membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada atau menguatkuasakan undang-undang baharu mengenai perbuatan khianat untuk memastikan rakyat Malaysia yang memberi atau menjual dokumentasi Malaysia boleh dipertanggungjawabkan dan dihukum berat bagi kesalahan jenayah mereka itu.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek memberitahu suruhanjaya itu bahawa semasa beliau menjadi Pengarah Imigresen Sabah dari 2010 hingga Mac tahun ini, beliau pernah berdepan kes warga asing yang mendakwa pelarian Filipina dan memiliki dokumen IMM13 palsu.

Katanya perkara itu dikesan semasa operasi jabatan itu, tetapi menafikan ada anggota jabatan itu terlibat dalam pengeluaran dokumen palsu.

Dalam kapasitinya sebagai ketua pengarah ESSCOM, yang dipegangnya pada 1 April tahun ini, Mohammad berkata peranan agensi itu ialah memperketatkan kawalan di sempadan berikutan kedudukan Sabah dekat dengan dua negara iaitu Indonesia dan Filipina. Beliau juga berkata terdapat lebih 400 pulau yang ada nama dan tidak bernama di pantai timur yang boleh digunakan oleh pendatang untuk menyusup masuk ke negeri ini yang juga boleh menjadi tempat persembunyian daripada pihak berkuasa.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas Peguam Besar Sabah.

Pendengaran bersambung 1-5 Julai. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain

Spurs pecat Pochettino!