suria

Fokus Pada Penyatuan Anggota & Keutuhan Umno - Adnan Yaakob

PEKAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meminta semua anggota Umno memberi fokus kepada agenda penyatuan anggota dan keutuhan parti.

Katanya isu seperti sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang bukan isu mustahak dan ia perlu ditolak tepi terlebih dahulu.

Beliau berkata pada masa negara baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-13, seluruh anggota parti seharusnya menilai dan melihat bagaimana sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada masa kini.

"Apa yang mustahak kita kena kaji kenapa ada rakyat yang menolak kita pada pilihan raya lalu, benda lain tidak mustahak, yang penting Umno itu mesti diterima oleh rakyat. "Memang pandangan peribadi saya sebelum ini menyatakan wajar dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, tetapi penekanan saya adalah jangan kita sibuk menunjukkan kita ini tidak demokratik, kita tetap sokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya.

Siapa lagi yang layak bertanding sebagai presiden dan timbalan presiden dalam Umno ini (selain mereka) tetapi janganlah kita sibuk soal bertanding ini atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini Sabtu.

Adnan sebelum ini tidak menyokong cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang kerana beliau berpendapat bahawa sebagai sebuah parti yang demokratik, semua jawatan dalam Umno perlu diadakan pertandingan.

Bagaimanapun, kenyataan Adnan itu hanya pandangan peribadi beliau dan tidak diputuskan di dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri. -BERNAMA

Artikel Lain