suria

Black 505: Tengku Adnan Saran Saran Peserta Berhimpun Di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa para peserta Perhimpunan Black 505 supaya berhimpun di Stadium Merdeka.

Ini kerana beliau beranggapan stadium merupakan kawasan terhad dan selamat untuk para peserta.

"Kami membenarkan mereka menggunakan stadium tetapi mereka tetap ingin menggunakan Padang Merbok.

"Jika mereka bertegas untuk berhimpun di sana, kami akan membuat laporan polis kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak meluluskan permohonan untuk menggunakan padang tersebut," katanya ketika meninjau situasi di Padang Merbok pada Sabtu.

Beliau turut berharap semua peserta yang terlibat tidak akan mencetuskan provokasi kerana ia menyukarkan pergerakan orang ramai memandangkan Jalan Parlimen merupakan jalan tunggal memasuki ibu negara.

Tengku Adnan ditemani Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad dan pegawai DBKL.

Beliau memberitahu terdapat pelbagai spekulasi mengenai perhimpunan tersebut tetapi para peserta dan penganjur harus mematuhi undang-undang dan peraturan.

Artikel Lain