suria

Penganggur Didakwa Miliki Pistol, Peluru Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat terhadap pertuduhan memiliki sepucuk pistol bersama peluru tanpa lesen, minggu lepas.

Ng Yim Kead, 52, didakwa memiliki pistol jenis Beretta USA Corp Mod 92PS COL 9mm warna hitam dan 10 butir peluru di dalam sebuah kereta di hadapan pintu masuk banglo Sommerset Close, Jalan Yaakob Latif, Cheras di sini pada 11.30 malam 13 Jun lepas.

Bagi kesalahan memiliki pistol, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memiliki peluru, Ng didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Julai untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad. - BERNAMA

Artikel Lain