suria

Klinik Kesihatan, Hospital Siap Sedia Hadapi Peningkatan Kes Berkaitan Jerebu

PUTRAJAYA: Semua klinik kesihatan dan hospital bersiap sedia untuk menangani penyakit berkaitan jerebu berikutan keadaan berjerebu yang semakin teruk di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang membuat pemantauan rapi terhadap keadaan berjerebu melalui bilik gerakannya di seluruh negara.

Jumlah jangkitan respiratori, termasuk jangkitan pada saluran respiratori atas (URTI) dan asma sedang meningkat, terutama di Johor, negeri paling teruk dilanda jerebu, katanya sambil menambah bahawa keadaan ini bagaimanapun, terkawal.

"Kami sudah meminta klinik dan hospital kami bersiap sedia untuk menghadapi perkara ini dan kami bimbang serangan URTI dan asma akan meningkat.

"Walaupun baru hanya sehari dua sejak API (Indeks Pencemaran Udara) meningkat, kami perlu terus memantau keadaan," katanya selepas melancarkan kempen 'Immunise4Life' di sini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik serta pengerusi jawatankuasa teknikal 'Immunise4Life' Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Sebanyak 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian di Johor ditutup apabila kualiti udara di sana mencapai tahap bahaya.

Dr Noor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelak mengalami masalah kesihatan akibat jerebu.

"Selain mamakai penutup hidung dan mulut, gunalah udara kitaran semula bagi alat pendingin hawa di dalam kereta dan cuba elakkan diri daripada berada di tempat terbuka untuk sementara waktu memandangkan indeks itu sedang meningkat.

"Mereka yang gemar berjoging boleh bersenam di rumah dengan menggunakan treadmill dan cuba kurangkan kegiatan luar untuk sementara waktu.

"Indeks (pencemaran udara) sedang meningkat. Nasihat umum kami kepada orang ramai ialah tinggallah di dalam rumah. Usah keluar jika tidak perlu dan mendedahkan diri ketika indeks tinggi. Anda boleh mengalami penyakit respiratori, terutama asma atau URTI. Mereka perlu melindungi diri sendiri," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk melakukan pembenihan awan bagi menghilangkan jerebu di negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain