suria

Jerebu: Penerbangan Pesawat MAS Tidak Terjejas

KUALA LUMPUR: Jadual penerbangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tidak terjejas walaupun keadaan jerebu di Johor masih kritikal.

Ketua Pusat Kawalan Operasi MAS Mohd Fuad Mohd Sharuji berkata bagaimanapun MAS telah menyediakan pelan kontigensi sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

"Di Johor Baharu jarak penglihatan ialah lebih kurang 1,000 kaki dan pesawat kami masih boleh mendarat," katanya ketika ditemubual melalui telefon menerusi siaran Buletin Awani di Saluran Astro Awani 502 di sini Jumaat.

Beliau berkata setakat ini semua penerbangan adalah mengikut jadual ditetapkan, namun sekiranya keadaan semakin kritikal dan jika perlu, MAS kemungkinan akan menghenti atau menangguhkan penerbangan.

Sehingga tengah hari ini, kawasan yang terlibat dengan jerebu di Johor terus mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Pasir Gudang merekod bacaan paling tinggi iaitu 323 (berbahaya).

Bacaan IPU antara kosong dan 50 dikategori sebagai baik; 51 hingga 100, sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300, sangat tidak sihat; dan lebih 301, berbahaya. -BERNAMA

Artikel Lain