suria

Jerebu: Melaka Buka Bilik Gerakan Bencana

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka membuka bilik gerakan bencana bagi menangani isu berkaitan jerebu sebagai langkah menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata bilik gerakan tersebut mula beroperasi pada 4 petang tadi dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi talian 06-3333333.

"Tahap pencemaran udara kali ini lebih buruk daripada sebelumnya, saya difahamkan jerebu ini mengandungi habuk tebal," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Jumaat.

Beliau berkata Indeks Pencemar udara (IPU) di Bandaraya Melaka mencatatkan tahap kritikal dengan bacaan 271 manakala Bukit Rambai mencatat IPU 257 pada 5 petang tadi.

Beliau berkata masing-masing 25,000 topeng muka telah diserahkan kepada Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Kesihatan manakala 10,000 topeng muka kepada bilik gerakan bencana itu.

Dalam pada itu, Idris berkata kira-kira 450 tadika Perpaduan, Kemas dan di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di seluruh negeri akan diarah tutup sekiranya keadaan jerebu berlanjutan, minggu depan.

Beliau berkata tadika berkenaan hanya boleh beroperasi semula sekiranya IPU berada pada tahap yang membolehkan aktiviti luar diadakan.

Idris berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah mengarahkan sekolah ditutup serta-merta sekiranya IPU melebihi 300.

"Melaka mempunyai sebanyak 77 buah sekolah menengah dan 236 sekolah rendah dengan jumlah pelajar lebih 161,000 orang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain