suria

Hannah Harap Draf Selesa Diluluskan

Hannah mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Adun Selangor di Shah Alam pada Jumaat.- fotoBERNAMA
Hannah mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Adun Selangor di Shah Alam pada Jumaat.- fotoBERNAMA
Hannah mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Adun Selangor di Shah Alam pada Jumaat.- fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh ingin melihat draf Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selesa) diluluskan dalam tempoh perkhidmatannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Yeoh mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN pada Jumaat bersama dengan Timbalan Speaker DUN, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Adun Seri Setia dan 54 Adun yang lain.

Beliau berharap untuk melihat draf Selesa diluluskan dalam beberapa bulan akan datang kerana ia akan memastikan badan perundangan itu lebih bebas.

"Saya tidak melihat sebarang halangan untuk melihat draf itu diluluskan. Ia akan memberi kuasa kepada Adun, jadi saya tidak melihat mengapa mereka akan membantahnya," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Sebelum ini, bekas Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata, draf tersebut yang dirangka pada 2009 disekat oleh bekas ahli majlis mesyuarat negeri (Exco).

Yeoh berkata Teng akan membantu mendesak draf tersebut diluluskan memandangkan beliau merupakan barisan terbaharu ahli Exco negeri pada penggal ini.

Beliau turut berharap untuk mengupah lebih ramai penyelidik untuk membantu Adun membuat persiapan perbahasan mereka dalam DUN.

Yeoh berkata, beliau akan menubuhkan jawatankuasa terpilih sebagaimana dikehendaki di bawah arahan secepat mungkin dan juga meneruskan Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat). Menurutnya, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) akan ditawarkan kepada Ketua Pembangkang di negeri itu.

Barisan Nasional (BN) memilih Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu.

"Saya adalah wakil pemimpin BN di sini. Saya akan meminta pandangan semua wakil pemimpin sebelum menerima jawatan (PAC) tersebut," kata Shamsudin.

Artikel Lain