suria

Pelancong Hong Kong Maut Terbabit Rempuhan Kereta Api, Tiga Selamat

Orang ramai melihat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang dirempuh kereta api penumpang di Jalan Petagas berhampiran Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang Rabu. -fotoBERNAMA
Orang ramai melihat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang dirempuh kereta api penumpang di Jalan Petagas berhampiran Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang Rabu. -fotoBERNAMA
Orang ramai melihat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang dirempuh kereta api penumpang di Jalan Petagas berhampiran Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang Rabu. -fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Seorang pelancong Hong Kong maut manakala dua wanita cedera dan seorang lagi terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh kereta api di Jalan Petagas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dekat sini, Rabu.

Dalam kejadian pukul 5.35 petang itu, kereta sewa jenis Hyundai yang dinaiki oleh empat pelancong dipercayai gagal berhenti di lintasan kereta api di persimpangan ke KKIA.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata lelaki berusia 50-an yang memandu kenderaan berkenaan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

"Pihak kami dimaklumkan bahawa kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Beaufort berlangggar dengan sebuah kenderaan.

"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa berpusing dan terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Myi dan sebuah basikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K.Ramin berkata pihaknya terpaksa memotong pintu kenderaan terbabit untuk mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45pm dan mengerahkan satu jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Kesemua pelancong berkenaan difahamkan adalah bersaudara dan dalam perjalanan ke lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan pulang ke negara mereka malam Rabu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang melawat lokasi kejadian, berkata beliau terharu dengan kejadian di luar jangkaan itu.

"Mengikut laporan awal pemandu kereta api, pemandu berkenaan telah menggunakan brek kecemasan untuk mengelakkan daripada melanggar kereta mangsa. Bagaimanapun, kereta api itu mengambil masa untuk berhenti," katanya.

Mengikut laporan awal, Pairin berkata kenderaan lain sudah berhenti setelah diberi isyarat tangan oleh pengawal landasan kereta api kecuali kereta mangsa.

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, mengarahkan supaya pihak berkenaan memasang papan tanda yang lebih besar dan palang atau pagar yang boleh digunakan secara manual untuk memberhentikan kenderaan. - BERNAMA

Artikel Lain