suria

Guan Eng 'Tidak Senang' Hanya Sebahagian Jalan Macalister Dibuka Kepada Pengguna Jalan Raya

GEORGE TOWN: Hanya sebahagian daripada Jalan Macalister dibuka untuk pengguna jalan raya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kelihatan marah berkata jalan itu sepatutnya boleh diakses kepada orang ramai pada Khamis tetapi beliau terkejut apabila mendapati kerja-kerja masih dijalankan di luar Menara Umno.

Guan Eng berkata surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada pemilik bangunan JKP Sdn Bhd berhubung kerja yang sedang dijalankan.

"Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah menyelesaikan kerja-kerja mereka di atas jalan raya dan ia sedia untuk dibuka.

"Tetapi Umno (JKP) masih belum siap. Kami mahu memastikan keselamatan pemandu," katanya.

Guan Eng berkata Jalan Macalister dibuka dari simpang Jalan Magazine sehingga Madras Lane manakala jalan sepanjang kira-kira 130 meter di hadapan Menara Umno masih ditutup.

Sementara itu, ketua pegawai operasi JKP Datuk Adzmi Ariffin berkata kerja-kerja utama yang dijalankan terhadap bangunan itu telah selesai.

"Kami hanya melakukan pembersihan yang hanya tinggal kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kerja.

"Kami mahu menghapuskan beberapa lapisan logam di sebelah bangunan itu," katanya.

Beliau juga berkata syarikat itu maklum hasrat kerajaan negeri yang mahu membuka jalan raya pada Khamis.

"Semua kerja akan siap pada hari ini. Mungkin ia boleh dibuka pada sebelah petang," katanya.

Artikel Lain