suria

Tiga Termasuk Wanita Disyaki Curi Besi Cedera Dibelasah Penduduk Felda Panching

KUANTAN: Tiga termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri besi buruk cedera akibat dibelasah sekumpulan penduduk Felda Panching Utara di sini, malam Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad berkata, dalam kejadian 8 malam itu tiga suspek yang berusia antara 20 hingga 26 tahun itu dikatakan berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di kawasan Felda itu dengan menaiki kereta Perodua Kancil.

"Penduduk kampung bertindak mengejar kereta suspek hingga ke sebuah lorong di dalam Felda itu lalu mengepung mereka sebelum bertindak membelasah ketiga-tiganya.

"Anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan bagi meleraikan kekecohan itu sebelum membawa ketiga-tiga suspek terbabit ke Balai Polis Panching," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya, tidak lama selepas penahanan tiga suspek itu, kira-kira 100 penduduk kampung itu turut datang ke Balai Polis Panching untuk memukul suspek.

Beliau berkata pihak polis berjaya menghalang cubaan orang kampung itu dan kesemua suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.

"Polis meminta supaya oang ramai tidak bertindak mengikut emosi, negara kita ada undang-undang, biar polis menjalankan tugas mereka," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan mencuri.

Beliau juga tidak menafikan ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan kes kecurian dua batang besi sepanjang kira-kira satu meter milik seorang penduduk dilaporkan hilang akibat stor rumah mangsa dipecah masuk.

Dalam kejadian, kira-kira 5.30 petang Isnin, polis menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 30 tahun yang mendapati jeriji besi stor rumahnya dipecahkan dan dua batang besi miliknya hilang, katanya.

"Besi berkenaan turut ditemui di dalam kereta suspek," katanya menambah kes bagaimanapun masih disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain