suria

Tiga Lelaki Samun Kedai Telefon Ditahan Dua Jam Kemudian

NIBONG TEBAL: Tidak sampai dua jam menyamun sebuah kedai telefon di Sungai Bakap di sini, tiga daripada empat penyamun berkenaan berjaya diberkas polis ketika mereka sedang bersembunyi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Impian Jaya, Bukit Mertajam dekat sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata hasil tindakan pantas, polis berjaya menjejaki kumpulan penyamun terbabit di rumah berkenaan dan menahan dua lelaki pertama di ruang tamu pada pukul 4.10 petang.

Katanya lelaki ketiga ditahan 20 minit kemudian ketika bersembunyi di bahagian bumbung kediaman itu manakala rakannya berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal.

"Kumpulan penjenayah itu menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di pekan Sungai Bakap pada pukul 2.45 petang sebelum melarikan diri menggunakan sebuah Proton Waja.

"Ketika melarikan diri anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah mengesan kenderaan tersebut dan mengejarnya sehingga ke kawasan taman perumahan itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kedai yang disamun," katanya kepada pemberita di sini.

Shafien berkata kumpulan penjenayah itu meninggalkan kereta Proton Waja berkenaan di sebuah flat iaitu 200 meter dari rumah teres, tempat mereka bersembunyi.

Katanya dalam serbuan itu polis turut menemui beberapa buah telefon bimbit yang dipercayai baru disamun kumpulan penjenayah berkenaan.

Beliau berkata polis percaya kumpulan penjenayah itu turut terlibat dalam satu lagi kejadian samun di sebuah kedai menjual buku di Sungai Bakap pada pukul 10.50 malam tadi berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pemilik kedai berkenaan.

"Kita percaya kedua-dua kes samun berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang baru kita tahan itu, siasatan lanjut termasuk mengesan seorang lagi suspek yang telah melarikan diri giat dijalankan.

"Polis juga akan menjalankan siasatan bagi mengesan sama ada pemilik rumah teres ini mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah ini," katanya.

Shafien berkata polis turut menemui pelbagai aksesori telefon dan topi penutup muka yang dipercayai digunakan untuk menyamun. - BERNAMA

Artikel Lain