suria

Skuad Khas Tangani Masalah Jenayah, Vandalisme Di Laluan Motosikal

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa menyarankan satu skuad khas dibentuk bagi menangani masalah jenayah dan vandalisme di laluan motosikal.

Beliau berkata skuad tersebut boleh membabitkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Bagaimanapun, beliau tidak menghurai lanjut mengenai perkara itu.

Hasil tinjauan di laluan motosikal di sini, Hishammuddin berkata beliau melihat banyak kemudahan asas seperti lampu dan pembahagi jalan rosak selain jenayah samun yang mengancam keselamatan penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

"Saya difahamkan penghadang jalan.. 'wiring'..(pun boleh) hilang (akibat) budaya Vandalisme dan kecurian," katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, di sini.

Melalui tinjauan itu juga, katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan antaranya menambah baik laluan dan tebing cerun, menyelenggara rumah pam di terowong dan kawasan yang ditakungi air serta menyelenggara lampu jalan di lorong motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain