suria

Polis Tahan Lima Lelaki Disyaki Terlibat Pergaduhan, Bakar Kenderaan

GEORGE TOWN: Polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan dan membakar sebuah kereta serta dua motosikal di Ladang Changkat, Nibong Tebal di sini Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lima lelaki berusia 17 hingga 56 tahun itu ditahan di sekitar Nibong Tebal, dekat sini beberapa jam selepas kejadian itu.

Beliau berkata polis kini mencari empat lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Mereka ialah S.Vijayan, 33, beralamat terakhir di no 2725 Ladang Byram, Nibong Tebal manakala tiga lagi hanya dikenali sebagai Saravan, Jacob dan Esso.

"Kejadian pada pukul 6.20 petang itu berlaku apabila sekumpulan lelaki menahan sebuah kereta dan dua motosikal yang masing-masing dipandu dan ditunggang seorang lelaki.

"Berlaku pertengkaran antara kumpulan berkenaan dan tiga lelaki terbabit, mereka dipercayai mengenali antara satu sama lain serta mempunyai beberapa krisis lama," katanya pada sidang akhbar, di sini Selasa.

Beliau berkata akibat pertengkaran itu, kumpulan lelaki terbabit bertindak memukul tiga lelaki berkenaan dengan parang dan kayu, bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Mazlan berkata berikutan marah kerana tiga lelaki itu berjaya menyelamatkan diri, kumpulan yang terdiri kira-kira 10 lelaki itu bertindak merosak dan membakar kereta serta motosikal milik mangsa yang ditinggalkan di tempat kejadian.

"Kejadian itu tidak berakhir di situ sebaliknya kumpulan lelaki terbabit telah pergi ke rumah kakak seorang daripada tiga lelaki berkenaan yang terletak berhampiran Ladang Changkat," katanya.

Beliau berkata mereka bertindak menyerang wanita berkenaan dan anak saudaranya yang cuba membantu turut dipukul sehingga mereka mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap. - BERNAMA

Artikel Lain