suria

Polis Sabah Akan Siasat Dakwaan Remaja Perempuan Diculik Sekumpulan Lelaki

LAHAD DATU: Polis Sabah akan menyiasat dakwaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bahawa beliau diculik sekumpulan lelaki dari rumahnya di Kampung Tanahgian dekat sini Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata insiden itu disiasat sebagai kes berkaitan jenayah.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini berhubung dakwaan Nurul Zulaikah Abdullah bahawa dirinya diculik sekumpulan lelaki dari rumahnya.

Nurul Zulaikah mendakwa beliau kemudian ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit dan diikat pada sebatang pokok sebelum diselamatkan anggota keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek berkata dakwaan remaja itu perlu disiasat bagi menentukan kesahihannya terlebih dahulu.

"Pada masa ini, saya tidak boleh kata kejadian itu ada atau tidak ada. Kita tidak boleh membuat kesimpulan melulu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini. - BERNAMA

Artikel Lain