suria

Norza Dilepaskan Daripada Tindakan Disiplin Umno, Hak Dikembalikan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Norza Zakaria, yang dibebaskan mahkamah daripada tuduhan rasuah berkaitan pemilihan Umno pada 2009, telah dilepaskan daripada tindakan disiplin Umno.

Mohamad Norza berkata beliau dimaklumkan mengenai pelepasannya daripada tindakan disiplin parti pada 29 Mei lepas melalui sepucuk surat yang diterima daripada Ibu Pejabat Umno pada 12 Jun.

Dengan pelepasan daripada hukuman, hak kelayakannya sebagai ahli parti untuk memilih, dipilih dan dilantik bagi sebarang jawatan dalam parti itu kini dikembalikan kepadanya.

Tindakan disiplin dikuatkuasakan kepadanya pada 13 Mac 2009, hari yang sama beliau menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang atas dua tuduhan rasuah melibatkan RM3,400 untuk memenangi jawatan pada pemilihan Umno.

Bagaimanapun pada 17 Jun 2010, Mahkamah Sesyen di Temerloh melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah selepas saksi-saksi yang dikemukakan sebelum ini berpaling tadah.

Dalam sidang media di sini, pada Isnin Mohamad Norza meluahkan kesyukuran atas keputusan itu dan menganggap musibah yang menimpa dirinya itu sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati untuk melakukan sesuatu tindakan dalam dunia politik.

"Hari ini doa saya untuk lihat penutupan pada episod hitam dalam hidup saya telah berakhir dan hari ini membuktikan saya tidak bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Umno dan tidak terlibat dalam politik wang," katanya.

Mengulas mengenai perancangan beliau dalam pemilihan parti tahun ini berikutan pelepasan itu, Mohamad Norza berkata beliau masih belum mempunyai perancangan khusus setakat ini.

"Saya harus menimbang dengan sebaik-baiknya kerana pengalaman lepas telah beri saya pengajaran. Saya akan jumpa dengan pemimpin-pemimpin tertentu dan rakan-rakan di Wilayah Persekutuan untuk melihat dan mendengar pandangan daripada mereka," katanya.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang turut hadir pada sidang media itu meminta seluruh kepimpinan Umno memberi peluang kepada Mohamad Norza untuk bergiat aktif kembali dalam politik khususnya Umno di Wilayah Persekutuan.

Syed Ali menyifatkan Mohamad Norza, yang juga bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno itu, sebagai pemimpin yang setia pada parti dan mempunyai daya tahan yang tinggi biarpun berhadapan dengan tindakan disiplin daripada Umno.

"Ada pemimpin yang ada jawatan pun tinggalkan parti, tidak setia pada parti, ada pemimpin yang dapat macam-macam pun sudah berhenti tinggalkan parti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain