suria

Mangsa Melecur Disambar Api Stabil

KUALA TERENGGANU: Mangsa melecur akibat disambar api ketika bermain masak-masak bersama adik dan sepupunya di Kampung Tetambah, Manir di sini Isnin dilaporkan stabil namun masih tidak sedarkan diri.

Tinjauan Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati Asrah Ramadi, 7, pelajar tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Kebor Besar, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ibunya, Rozita Ismail, 35, berkata ketika dikejarkan ke hospital semalam, anak kedua daripada tiga beradik itu masih sedar dan mampu menggerakkan kaki serta tangan, bagaimanapun pagi tadi, Asrah masih tidak sedar akibat kesan ubat yang dibekalkan.

Rozita berkata ketika kejadian, beliau sedang mandi dan tidak sedar anak dan anak buahnya bermain api kerana sebelum itu, mereka dilihat bermain komputer riba (E-Book) di sebuah bangsal di depan rumah.

Beliau berkata mereka sekeluarga kemudian dikejutkan dengan bunyi riuh serta teriakan anaknya namun menyangka ketiga-tiga kanak-kanak sedang bermain namun sangkaan meleset selepas melihat badan Asrah disambar api.

"Anggota keluarga yang melihat kejadian itu cuba memadamkan api dengan menggunakan kain sebelum dikejarkan ke hospital, anak saya masih mampu berjalan masuk ke dalam dan mengadu kesakitan," katanya ketika ditemui di HSNZ, Selasa.

Akibat kejadian itu, badan mangsa melecur teruk hampir 75 peratus manakala adik lelakinya yang berusia 6 tahun serta sepupu perempuan, 11, tidak cedera. - BERNAMA

Artikel Lain