suria

Jenazah Tiga Beradik Lemas Di Sungai Golok Dikebumi Dalam Satu Liang Lahad

PASIR MAS: Jenazah tiga beradik yang lemas ketika mandi di Sungai Golok, Rantau Panjang pada Isnin, selamat dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat di sini Selasa.

Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 4 petang itu ialah Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Syahmi, 4.

Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga mangsa apabila sanak saudara dan orang ramai menziarahi jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ketika ditemui pemberita, ibu mangsa, Nur Asyikin Abdul Rahman, 41, berkata kejadian itu perit untuk dikenang kerana suaminya juga meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Kali terakhir beliau bertemu tiga anaknya itu ialah pada 1.30 tengah hari Isnin sebelum meninggalkan rumah bagi mengikuti bengkel di Tadika Kemas Cempaka Sari, Gual Sintok di sini.

Nur Asyikin, yang bertugas sebagai guru di Tadika Kemas Kampung Rahmat, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa ketiga-tiga anaknya, namun beliau reda dengan ketentuan Tuhan.

Beliau berkata Muhammad Zulhilmi, yang dipanggil abang dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat, bercita-cita menjadi seorang jurutera dan Muhammad Syahmi, yang dipanggil adik, ingin menjadi juruterbang manakala si bongsu iaitu Muhammad Irfan Syahmi, atau baby, pula mahu menjadi seorang anggota polis. - BERNAMA

Artikel Lain