suria

Dua Maut, Empat Parah Dalam Nahas Jalan Raya

IPOH: Dua lelaki maut manakala empat yang lain cedera parah dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal di Kilometer 13.9 Jalan Kuala Sepetang-Taiping awal pagi Selasa.

Penunggang motosikal Harvinder Singh Jamir Singh, 28, dari Kampung Larut Tin dan seorang pembonceng Radizah Yusoff, 55, dari Taman Kaya, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Mangsa yang cedera parah pula ialah suami Radizah, Mohd Zaini Abdullah, 58, Johari Zakaria, 51, dan Mohd Ismail Md. Ramli, 22, serta seorang pemandu kereta, Harvinder Singh Santokh Singh, 45.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 pagi apabila kereta Mercedes Benz yang dipandu Harvinder Singh Santokh Singh hilang kawalan lalu melanggar tiga motosikal yang datang dari arah yang sama.

"Pemandu kereta yang dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang itu gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar tiga motosikal. Dua mangsa yang menaiki motosikal maut dan pemandu kereta cedera di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi.

Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Taiping. - BERNAMA

Artikel Lain