suria

Penebat Kilat Runtuh: Kedudukan Kereta Mangsa Dipercayai Tertimbus Belum Dikenal Pasti

GEORGE TOWN: Pasukan mencari dan menyelamat belum mengenal pasti kedudukan sebenar kereta milik mangsa yang dipercayai tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini.

Pengarah Bomba Pulau Pinang Azmi Tamat berkata operasi mengesan kedudukan mangsa itu bertambah rumit berikutan hujan sejak pukul 10.30 malam Ahad menyebabkan lubang tempat mangsa dikhuatiri terperangkap dilimpahi lumpur.

"Sebab kita tak tahu macam mana keadaan kereta itu semasa kejadian. Kalau ia kena betul-betul serpihan rasuk... takut kereta itu berkecai, jadi kita tidak tahu keadaan kereta itu dan pemandunya sekarang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi mencari dan mengesan dijadual berlangsung 24 jam dan akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan hujan.

Selain itu, lubang asal sedalam lima meter akan digali tiga meter lagi menggunakan empat jengkaut bagi mengesan mangsa yang tertimbus, katanya.

Azmi berkata sehingga pukul 10.45 malam, sepanjang operasi menggali dilakukan, anggotanya menjumpai tiga tayar menjadikan keseluruhan bahagian kereta yang berjaya ditemui sejak Ahad hanya kira-kira 10 peratus.

Beliau berkata kontraktor terlibat dalam operasi itu turut menebang beberapa batang pokok di sekitar lokasi runtuhan kerana bimbang ia tumbang berikutan struktur tanah yang semakin terhakis ekoran insiden berkenaan.

Petang Ahad, Majlis Perbadanan Pulau Pinang memasang kepingan logam di dalam lubang berkenaan bagi menghalang air daripada masuk ke kawasan runtuhan penebat kilat itu.

Pada Sabtu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat sepadan dengan kereta milik penjual nasi Lim Chin Aik.

Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian Khamis lepas.

Semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Honda City berwarna kelabu keluar mengambil anak perempuan bongsunya dari Penang Chinese Girl's High School di Jalan Gottlieb kira-kira pukul 6.30 petang, Khamis lepas. - BERNAMA

Artikel Lain