suria

Johor Tubuh Jawatankuasa Kaji, Pantau Aspek Keselamatan Jalan Raya

JOHOR BARU: Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji serta memantau aspek keselamatan jalan raya di seluruh negeri ini, khususnya di kawasan pesat membangunan.

Melalui penubuhan jawatankuasa itu, pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan tampil memberikan maklum balas ke arah mewujudkan keadaan jalan raya yang lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, tumpuan akan diberikan kepada Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) yang menghubungkan bandar raya dengan kawasan industri minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.

"SDE akan diberikan keutamaan kerana dalam tempoh 10 tahun ini banyak kenderaan berat yang membawa bahan berbahaya akan melalui laluan berkenaan khususnya dari bandar raya ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang," katanya.

Beliau berkata beberapa lebuh raya yang menghubungkan kawasan pembangunan hanya menampilkan ciri keselamatan minimum sedangkan ia menjadi laluan utama kenderaan berat yang membawa bahan berbahaya.

Hasni berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Lebuhraya dan Pameran Antarabangsa (PIECE 2013) yang akan diadakan Sept nanti di sini Isnin.

Turut hadir Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Noorizah Abd Hamid, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Pihak berkuasa Wilayah Pembangunan Isklandar (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie. - BERNAMA

Artikel Lain