suria

Bas Persiaran Bawa Rombongan Bercuti Rempuh Treler, 13 Cedera Ringan

IPOH: Sebanyak 13 penumpang mengalami cedera ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Km 301.2 Lebuhraya Utara-Selatan laluan utara dekat Gua Tempurung di sini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata dalam kejadian pada 3.35 pagi itu, bas yang membawa 28 penumpang dalam perjalanan ke Kuala Perlis, Perlis dari Nilai, Negeri Sembilan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler berkenaan.

"Kemalangan dipercayai berpunca selepas pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu yang melalui kawasan berbukit manakala treler terbabit dipercayai dipandu perlahan ekoran laluan menuruni bukit," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau berkata akibat rempuhan itu, 13 penumpang termasuk dua kanak-kanak berusia enam dan empat tahun cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Katanya bas itu membawa rombongan pekerja dan anggota keluarga sebuah syarikat perniagaan kain yang beroperasi di Nilai 3 untuk bercuti di Pulau Langkawi, Kedah manakala treler membawa muatan besi buruk itu sedang menuju ke Taiping.

Ng berkata pemandu dan pengurus bas syarikat berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain