suria

Polis Jejaki Kumpulan Penyamun Aktif Lakukan Kegiatan Pecah Rumah

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang melancarkan 'Ops Rantau Khas' bagi menjejaki sekumpulan penyamun warga Indonesia yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas sejak awal Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata kumpulan itu terdiri daripada tiga hingga empat orang, menyasarkan rumah di pinggir bukit dan hutan sebagai sasaran.

"Setakat ini enam kes pecah rumah telah dilaporkan sepanjang bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi di Taman Perumahan Cangkat Sungai Ara, di sini, Ahad.

Katanya modus operandi kumpulan itu ialah mereka akan datang ke kawasan yang menjadi sasaran sekitar 6 petang dengan menyamar sebagai pekerja pemotong rumput bagi meninjau keadaan sekitar.

"Suspek kemudiannya akan datang semula pada awal malam dalam lingkungan pukul 8 hingga 9 malam dengan kenderaan lain seperti van, kereta atau teksi kemudian bersembunyi di dalam kawasan hutan berdekatan rumah yang ingin disamun," katanya.

Beliau juga berkata suspek juga meracun anjing pemilik rumah termasuk anjing liar bagi mengelak pergerakan mereka disedari penduduk.

Katanya dalam operasi tersebut polis turut meningkatkan rondaan serta menempatkan anggota untuk bermalam di sekitar kawasan pinggir bukit.

Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Lai turut meminta orang ramai melaporkan segera kepada polis sekiranya melihat pergerakan yang mencurigakan di sekitar kawasan kediaman mereka. - BERNAMA

Artikel Lain