suria

Gerakan Pecat Seorang Anggota, Gantung Dua Yang Lain

KUALA LUMPUR: Gerakan memecat seorang anggotanya dan menggantung keanggotaan dua yang lain kerana melanggar peraturan, termasuk menentang calon yang dipilih mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn pada Ahad berkata keputusan itu diambil pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan, Sabtu.

"Sebelum ini, lima anggota mengambil keputusan mengundur diri...sebabnya, ada daripada mereka bertanding sebagai calon bebas dan sesetengahnya pula menentang calon kami. Terdapat juga beberapa aduan lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sesi percambahan fikiran parti itu di ibu pejabatnya di sini.

Bagaimanapun, Chang tidak menyatakan nama tiga anggota terbabit dan menjelaskan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap aduan lain yang diterima parti itu.

Mengenai sesi percambahan fikiran itu, beliau berkata ia diadakan untuk untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan parti berkenaan dan Barisan Nasional pada PRU13.

"Kami ada kira-kira empat atau lima tahun lagi untuk mendapatkan kembali keyakinan pengundi, kami perlu susun rancangan yang konkrit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain