suria

Therra Horizon Ambil Alih Ops Mencari & Menyelamat Bot Tenggelam

BELAGA: Operasi Mencari dan Menyelamat bot ekspres "Kawan Mas" yang tenggelam yang masuk hari ke-16 pada Sabtu telah diambil alih oleh Therra Horizon Sendirian Berhad yang berpangkalan di Putrajaya.

Syarikat tersebut, di bawah Petronas, mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat di perairan melibatkan pekerja Malaysia di serata dunia.

Ini dinyatakan kepada Bernama oleh ketua Polis Belaga, DSP Bakar Sebau yang menerima maklumat mengenai keputusan itu dibuat oleh ibu pejabat Polis di tempat kejadian di Giam Bungan, di sini tengah hari Sabtu.

Beliau dan pasukan 13 penyelam Polis Marin berada di sana awal pagi ini untuk meneruskan tugas untuk cuba mengesan kedudukan bot itu sekarang.

Sementara itu, Therra Horizon dilaporkan akan membawa alat-alat kelengkapan bernilai lebih RM2 juta ke kawasan berkenaan. Penasihat teknikalnya Kapten Khairul Azeman Mokhtar berkata antara alat ialah mesin sonar pengesan logam menggunakan teknologi terbaru Russia dan bernilai kira-kira RM1 juta.

Beliau menyatakan demikian kepada Bernama ketika membawa dua penyelam untuk lawatan tinjauan ke Giam Bungan hari ini, tempat bot itu karam pada 28 Mei.

"Mesin ini boleh mengesan objek logam dengan saiz sekecil cincin sedalam 150 meter dalam lengkongan 300 meter.

"Ini memudahkan kerja jika paras air Sungai Rajang naik bila Empangan Hidro Bakun terpaksa melepaskan air lebihannya," kata beliau.

Kapt.Khairul berkata beliau sedang berusaha untuk membawa kelengkapan berkenaan dalam masa dua hari ini supaya dapat memulakan tugas pada Selasa.

"Kawan Mas" terbalik dan tenggelam di Giam Bungan, salah sebuah jeram bahaya di bahagian hulu Sungai Rajang, kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari bandar itu, pada 8.45 pagi hari berkenaan.

Bot itu sedang membawa lebih daripada 200 penumpang yang hendak pulang merayakan Pesta Gawai Dayak pada 1 Jun, melebih jumlah rasmi yang dibenarkan seramai 64 orang.

Ia terbalik selepas terlanggar sebatang balak yang terapung.

Kira-kira 213 penumpang selamat dalam kemalangan itu sementara dua yang lain dikenalpasti sebagai Roslin Jati, 34, dan Maurice Ajan, 22, masih hilang dan dikhuatiri terperangkap dalam bot itu. Mayat seorang lagi penumpang Tujoh Lah, 44, ditemui dua hari kemudian tidak jauh dari tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain