suria

Proton Kaji Kemungkinan Harga Kereta Seragam Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd, yang menyasarkan untuk mengurangkan harga kenderaannya secara beransur-ansur, juga mengkaji untuk menyelaraskan harga keretanya di seluruh negara.

"Tidak lama lagi, Proton akan menilai cara untuk menyelaraskan dan menyerap kos yang perlu supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati satu harga," kata pengerusi eksekutif Tan Sri Mohd Khamil Jamil kepada pemberita selepas melancarkan Saga SV, variasi Saga FLX, di sini Sabtu.

Mengenai pengurangan kepada harga kereta, beliau berkata ia akan dilakukan secara beransur-ansur kerana syarikat perlu mengambil semua aspek untuk menawarkan kereta nilai bagi wang yang terbaik.

Beliau berkata Saga SV dikeluarkan adalah untuk menampung harga yang lebih rendah, dengan harga daripada RM33,438 dan kira-kira 12 peratus lebih murah daripada Saga FLX.

"Kami telah menjalankan proses penilaian kejuruteraan untuk memastikan walaupun harga diturunkan, kami telah meningkatkan kualiti, keselamatan dan ciri-ciri kenderaan kami," kata Khamil.

Langkah Proton untuk menawarkan kereta yang lebih murah adalah sejajar dengan wawasan kerajaan untuk mengurangkan harga kereta antara 20 peratus dan 30 peratus secara beransur-ansur sepanjang lima tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain