suria

Pemandu Van Cedera Disamun Dua Lelaki

BUTTERWORTH: Seorang pemandu van rokok cedera parah disamun dua lelaki dalam kejadian di Pasar Tingkat Bagan Baru, di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Shukri Awang berkata dalam kejadian pukul 12.23 tengah hari itu mangsa berusia 53 tahun sedang memunggah kotak rokok untuk dihantar ke sebuah kedai di situ sebelum didatangi seorang lelaki dari arah belakang.

"Lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 20-an itu kemudiannya dikatakan mengacukan senjata dipercayai pistol ke arah mangsa dan berjaya ditepis.

"Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek pula datang dan mengelar rusuk kirinya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, " katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Katanya rakan mangsa yang berada di dalam sebuah kedai kopi di kawasan itu yang mendengar jeritan mangsa bergegas untuk melihat apa yang terjadi dan terkejut mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Shukri berkata kedua-dua lelaki yang menyamun mangsa sempat melarikan beberapa kotak rokok jenis Dunhill yang dibawa mangsa dianggarkan bernilai RM900 dan terus melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih.

Katanya mangsa yang cedera dikejarkan ke HSJ dan keadaannya kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan kecil.

"Hasil semakan ke atas nombor pendaftaran kereta yang dinaiki dua lelaki berkenaan mendapati ia palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki kedua-dua mereka.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan kejadian tengah hari tadi adalah kedua yang dialami mangsa," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Hairol Azura Abdul Aziz di talian 012-6258849. - BERNAMA

Artikel Lain