suria

Lebih Baik Bagi PSM Sertai Pakatan - Karpal

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan adalah lebih baik bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyertai Pakatan Rakyat berbanding sekadar menjadi parti mesra pembangkang dan menyebabkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum lima tahun dari sekarang.

“Saya percaya adalah lebih baik jika permohonan itu dipertimbangkan semula. Pakatan perlu inklusif.

“Jika tidak segala-galanya tidak masuk akal. PSM bertanding atas tiket PKR dan menang di kerusi Parlimen Sungai Siput.

“Jadi saya tidak lihat sebarang sebab mengapa PSM tidak boleh diterima sebagai parti komponen Pakatan,” kata Karpal Singh pada sidang media di Air Itam, Sabtu.

Kawasan Parlimen Sungai Siput merupakan kerusi tunggal yang dimenangi PSM dengan pemimpin parti itu, Dr Michael D Jeyakumar mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

“Tiada sebab diberikan mengenai mengapa permohonan PSM untuk menyertai Pakatan Rakyat ditolak.

“PSM tidak berpuas hati dengan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa ahli PSM mempromosikan komunis. Mereka bukan komunis, mereka adalah sosialis dan itu hak mereka,” katanya.

Karpal menegaskan PSM perlu diberi peluang untuk menganggotai Pakatan dan pada masa sama membenarkan mereka mengekalkan ideologi politik mereka.

“Selagi tiada percanggahan yang serius. PAS mempunyai aspirasi tersendiri iaitu Islam dan hudud, itu hak mereka. Hak DAP adalah untuk tidak menentang cita-cita itu.

“Namun gambaran yang lebih besar iaitu kepentingan awam adalah sistem dua parti perlu diwujudkan,” katanya.

Artikel Lain