suria

Ka Chuan Nasihatkan MCA Tidak Adakan EGM

KAMPAR: Ahli Jawatankuasa MCA Pusat Datuk Seri Ong Ka Chuan menasihatkan MCA supaya tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi memutuskan pendirian MCA berhubung penolakan jawatan dalam kerajaan.

"MCA masih terasa bahang kekalahan teruk semasa pilihan raya baru-baru ini.

"Mengadakan EGM pada masa sekarang hanya akan menjejaskan proses pemulihan dengan menyebabkan perpecahan dan perbalahan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Ong berkata, keputusan untuk menolak jawatan dalam kerajaan berdasarkan keputusan pilihan raya adalah satu kesilapan tetapi menggesa ahli-ahli parti tidak menyalahkan satu sama lain.

"Apabila keputusan telah dipersetujui oleh seluruh parti, ia sebenarnya menjadi satu kaedah untuk menaikkan semangat perjuangan kita untuk pilihan raya.

"Sekarang ia telah memakan diri sendiri, semua orang perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya menuding jari antara satu sama lain.

"Jika mereka mahu menukar dasar itu, mereka boleh melakukannya dalam pemilihan parti akan datang," katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding bagi jawatan presiden parti pada pemilihan parti pada 21 Disember ini, Ong berkata parti itu perlu diterajui oleh orang muda.

"Oleh kerana kita berhasrat untuk berubah dan memenangi kembali sokongan generasi muda, kita perlu memilih pemimpin parti yang lebih muda yang boleh berhubung dengan mereka dengan lebih baik.

"Saya dilahirkan pada tahun 1950, mungkin kita harus mempertimbangkan untuk memilih mereka yang lahir pada tahun 1960-an atau 1970-an.

"Saya tidak fikir saya akan bertanding lagi untuk jawatan tertinggi MCA tetapi saya akan terus memberi sokongan dan pengalaman saya kepada sesiapa yang dipilih parti," kata beliau.

Artikel Lain