suria

Pakej Kerja Bawah Tanah MRT Semantan-Maluri Capai Kadar Siap 30 Peratus

KUALA LUMPUR: Pakej kerja bawah tanah Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) bernilai RM8.2 bilion dari Semantan di Damansara ke Maluri di Cheras telah mencapai kadar siap 30 peratus.

Pengarah Projek MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Satpal S Bhogal, berkata kemajuan kerja itu termasuk kerja-kerja menyiapkan terowong sepanjang 9.5 kilometer dan tujuh stesen bawah tanah.

"Kami menepati jadual untuk menyiapkannya dalam kerangka masa yang ditetapkan. Ada bahagian-bahagiannya, kami mendahului jadual," katanya kepada pemberita pada pelancaran kerja-kerja pembinaan terowong bagi sebuah pusat pelawat di sini Jumaat.

MMC-Gamuda ialah kontraktor bagi pakej kerja bawah tanah dan pembinaan terowong. Bhogal berkata pada masa ini syarikat itu menggunakan dua mesin pengorek bagi kerja-kerja pembinaan terowong manakala dua mesin lagi sedang dipasang dan dijangka mula mengorek bulan depan.

Beliau berkata ada dua lagi mesin dalam inventori syarikat, manakala empat lagi dijangka tiba dalam tahun ini. "Ada lima bahagian kerja pembinaan terowong, dan setiap satu akan menggunakan dua mesin mengorek," katanya.

Mengenai pusat pelawat, Bhogal berkata pusat itu dicadangkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada orang ramai bagi maklumat tentang projek besar-besaran itu.

"Kami menerima purata lima hingga enam permintaan lawatan kumpulan sebulan dan kami mahu melayan minat mereka yang ingin mengetahui dan melihat sendiri apa yang sedang berlaku di tapak pembinaan," katanya.

Beliau berkata pusat itu terbuka kepada orang ramai melalui temujanji dengan jabatan perhubungan awam MMC Gamuda dengan memanggil 1-800-82-6868 atau 03-23858000. - BERNAMA

Artikel Lain